Kelebihan Bersahur Di Bulan Ramadan
1 -Membezakan Puasa Islam dan ahli kitab
“Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dan puasa ahli kitab terletak pada makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim)
Setiap agama di dunia ini mengamalkan puasanya yang tersendiri. Ada yang berpuasa daripada makan daging, ada yang berpuasa daripada makan sahaja dan boleh minum serta macam-macam lagi cara mereka berpuasa.
Begitu juga dengan ahli kitab yang telah disebut berdasarkan hadis Rasulullah SAW di atas. Ahli kitab ialah golongan Yahudi dan Nasrani yang percaya kitab Injil dan Taurat namun setelah lahirnya Nabi Muhammad, mereka telah menolak ajaran al-Quran.
Golongan ini berpuasa sama seperti kita, iaitu dengan menahan lapar dan dahaga namun tidak mengamalkan bersahur berbeza dengan umat Islam yang disunatkan bersahur sebagai salah satu amalan di bulan puasa.
2 -Ada Keberkatan
“Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW menganjurkan untuk bersahur kerana banyak keberkatan yang boleh kita rebut. Antaranya ialah, ia dapat membantu kita untuk menguatkan diri semasa berpuasa. Dengan bersahur, ia dapat memberi kita tenaga dan boleh menjadikan hari kita produktif.
3 – Untuk Kesihatan Diri
Menurut Imam Ibnu Adli Bar, kajian mengenai hadis bersahur dan kepentingannya adalah bertaraf sahih dan mampu memberi kesihatan kepada diri sendiri. Kajian saintifik juga menekankan bahawa penekanan nabi agar sahur dilewatkan mempunyai sebab yang tersendiri, iaitu ia menepati waktu sarapan pagi. Hal ini kerana, makanan yang paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan.


Dr Mark Pereira dan beberapa orang pengkaji lagi dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi akan mempunyai risiko untuk menghidap penyakit jantung dan kencing manis.
Manakala, menurut Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan sarapan berisiko untuk menanggung dua kali ganda kekurangan zat besi dalam darah dan berpotensi mengalami penyakit anemia, iaitu kekurangan haemoglobin dalam darah.
Justeru, dengan bersahur akan menggantikan sarapan pagi yang tidak boleh dilakukan pada bulan Ramadan agar kesihatan kita sentiasa terjaga.
4 – Para Malaikat Berselawat
“Allah dan para Malaikat berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ibnu Umar)
Menurut sebuah riwayat, para malaikat akan berselawat ke atas golongan yang menggagahkan diri untuk bersahur. Hal ini kerana, dalam sahur terdapat banyak berkatnya. (Berdasarkan Shahihut Targhib wa Tarhib, 1066)
