Timbalan Pengerusi Barisan Nasional , Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berharap agar jentera parti bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Menurut beliau persediaan dan perancangan cukup penting supaya pelbagai peringkat jentera parti berada dalam kesiapsiagaan yang cukup tinggi.

“Kita perlu melatih jentera kita supaya tahap kesiapsiagaan mereka itu berada dalam keadaan yang terbaik, sebagai contoh macam pasukan bola pun mesti diuruskan dan berada dalam keadaan yang terbaik, stamina yang bagus, ‘team spirit’ yang ada semua,” katanya.

Terdahulu beliau bersama pimpinan dan jentera parti Negeri Sembilan dan Melaka pada program penutupan Bangkit 15 anjuran Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia di La Crista Hotel, Melaka.

Mohamad seterusnya menambah apa yang dilaksanakan hari ini menerusi program tersebut merupakan peringatan untuk jentera parti.

“Kita buat ini supaya mengingatkan semula jentera kita… walaupun mereka sudah banyak kali pilihan raya tetapi mengingatkan semula ‘tata kelola’ dan bentuk gerak kerja kita untuk kita menghadapi pilihan raya yang kita tidak tahu bila.

“Ada 10 jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan ini salah satu daripadanya dan semua jawatankuasa-jawatankuasa ini telah pun memulakan gerak kerja macam jawatankuasa Penerangan, Barisan Nasional (BN) Comms dan lain-lain,”

“Bila kita dalam keadaan tidak tahu maka kita harus berada di tahap kesiapsiagaan dan sentiasa baik untuk menghadapi pilihan raya… insya Allah,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu Program Bangkit 15 yang merupakan anjuran Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia turun ke seluruh negeri untuk melatih jentera parti.

Jelas beliau, pada hari ini giliran Melaka, Negeri Sembilan dan Johor telah membuat program Bangkit 15 dan hanya tinggal beberapa negeri lagi.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, Timbalan Pengerusi BPUN Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Timbalan Pengerusi BPUN Melaka, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.